Waktu Lailatul Qadar
Para
ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh
malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat
manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada
disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat
ini.
Iaitu
seperti hari esoknya yang tidak terlampau panas dan tidak pula sejuk,
matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia
semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.
Bagaimanapun
tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar
telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan
manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu
dikenalpasti esoknya.
Malah,
tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan
cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya
mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga
manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah
malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah
terik?.
Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.
Menurut
pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada
sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.
Hadith Nabi menyebut:-
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagaimanapun,
kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu Jika
negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan
negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan
Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama.
Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja.
Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam
Tidak ada komentar:
Posting Komentar